Pekerja Kenanga Wholesale City beratur untuk menyukat suhu badan sebelum masuk ke dalam premis sebagai syarat dan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan ketika tinjauan pada 5 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPB: Tidak patuh SOP, polis boleh ambil tindakan

SHAH ALAM, 12 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang ingkar pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tindakan terhadap mereka boleh diambil mengikut Akta 342.

“Kerajaan kadang-kadang lihat rakyat menganggap PKPB ini seperti tidak ada undang-undang dikenakan, ramai yang anggap boleh bebas tanpa syarat dan keluar membawa anak-anak termasuk ke pasar raya.

“Semalam saya dapat video viral mengenai kesesakan warung-warung di Kampung Pandan, mulanya saya ingatkan berita palsu dan kemudian menghubungi Ketua Polis Negara untuk pengesahan, dan ternyata ia benar dan bukan palsu.

“Jadi saya beri ingatan bahawa Akta 342 masih berkuat kuasa, kegagalan untuk patuh SOP boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata apabila kelonggaran diberi dalam PKPB, kerajaan mahu rakyat patuh dengan setiap peraturan dikeluarkan bagi mengelak peningkatan dalam jumlah kes baharu Covid-19.

“Kita mahu beri peringatan kepada rakyat bahawa PKPB bukan boleh terus kekal sebagai PKPB, boleh menjadi PKP Diperketatkan kalau rakyat tidak patuh SOP.

“Malah PKP satu, dua atau tiga yang kita laksanakan sebelum ini juga boleh dilaksanakan semula jika tiada kepatuhan kepada SOP ditetapkan,” katanya.


Pengarang :