Suasana sekitar perumahan di Jalan Othman, Petaling Jaya selepas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 12 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

PKPD: Wakil rakyat Bukit Gasing tawar makanan buat warga emas, OKU

SHAH ALAM, 13 MEI: DUN Bukit Gasing menyediakan makanan percuma kepada penduduk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata ahli dewan negerinya.

R Rajiv berkata, keutamaan diberikan kepada penghuni yang mendiami kawasan Bukit Gasing.

“Jika anda mengetahui warga emas atau OKU yang tinggal bersendirian dan tidak berkeupayaan untuk memasak di kawasan ini, sila hubungi pejabat saya.

“Saya amat menghargai jika anda dapat memberikan butiran mereka (nama, alamat, nombor telefon) untuk tujuan komunikasi dan koordinasi,” katanya di Facebook hari ini.

Orang ramai boleh menghubungi Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Gasing di talian 03-2935 9135 atau WhatsApp di 016-216 7490 untuk memberi maklumat.

Pada 10 Mei lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kawasan sekitar Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya diletakkan di bawah PKPD sehingga 23 Mei ini.

Keputusan dibuat selepas Kementerian Kesihatan menjejaki 26 kes positif Covid-19 di kawasan tersebut.

Ismail memberitahu, perintah PKPD itu membabitkan kira-kira 2,900 penghuni di kediaman dan premis perniagaan di tiga kawasan iaitu zon A, zon B dan zon C.


Pengarang :