AGENDANASIONAL

PLUS tawar khidmat prapesanan makanan di tiga R&R

KUALA LUMPUR, 23 MEI: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melalui aplikasi PLUS Mobile menawarkan fungsi prapesanan untuk perkhidmatan bawa pulang makanan yang terdapat di tiga lokasi Rehat dan Rawat (R&R) di Dengkil, Rawang dan Restoran Jejantas Sungai Buloh, masing-masing di kedua-dua arah.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata, prapesanan boleh dilakukan menerusi pautan https://orderdisini.plus.com.my/ dengan menggunakan telefon bimbit, komputer riba atau dengan melayari halaman Facebook PLUS Malaysia.

“Berikutan perjalanan dalam negeri dibenarkan di lebuh raya PLUS, orang ramai yang menggunakan lebuh raya untuk menziarah keluarga terdekat dalam negeri yang sama pada hari raya pertama boleh menggunakan perkhidmatan prapesanan makanan ini.

“Pesanan makanan boleh dilakukan lebih awal, sekali gus menjimatkan masa menunggu untuk penyediaan makanan,” katanya.

Azman berkata, inisiatif prapesanan ini dapat membantu perniagaan rakan niaga PLUS dan sosioekonomi masyarakat di lebuh raya PLUS yang beroperasi.

Katanya, rakan niaga PLUS yang mengambil bahagian menawarkan Kempen Raya di R&R terpilih, hentian sebelah dan restoran jejantas sehingga 7 Jun ini.

Pelanggan boleh menikmati menu pilihan di bawah ‘Promosi Hidangan’ dengan harga RM8 dan `Pek Hamper Raya’ yang menggabungkan pelbagai produk yang sesuai untuk dijadikan hadiah ketika berkunjung ke rumah keluarga terdekat.

“Pembelian boleh secara tunai atau transaksi atas talian. Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari halaman Facebook PLUS Malaysia,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :