Orang ramai melakukan pembelian di Pasaraya Hero di Putrajaya berikutan penularan wabak Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Hampir semua aktiviti ekonomi, sosial dibenar mulai Isnin

SHAH ALAM, 1 MEI: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan membenarkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi mulai Isnin ini, kata perdana menteri.

Namun, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kegiatan sedemikian perlu dilakukan secara berhati-hati termasuk menguatkuasakan tatacara operasi piawai (SOP) kesihatan ketat.

“Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam perutusan Hari Pekerja hari ini.

Beliau berkata keputusan dibuat berikutan ramai mahu kembali bekerja atau berniaga berikutan mereka terputus mata pencarian dalam tempoh hampir dua bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini penting kerana pekerjaan dan perniagaan adalah sumber pendapatan dan mata pencarian. Kalau terlalu lama berada dalam PKP, maka ini memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing,” katanya.

Namun, beliau berkata beberapa jenis perniagaan kekal dilarang termasuk panggung wayang, pusat karaoke dan refleksologi, pusat hiburan, taman tema, bazar Ramadan dan Aidilfitri, karnival jualan serta semua bentuk persidangan dan pameran.

Perdana menteri mengakui ramai juga bimbang jika PKP ditamatkan kerana virus Covid-19 masih ada serta tetap terdapat risiko peningkatan kadar jangkitan.

“Saya telah bincang perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri. Kita mesti cari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung Covid-19,” katanya.


Pengarang :