Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
AGENDANASIONAL

PM: Pinda akta, hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) perlu dipinda supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata justeru, beliau telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan ke atas akta tersebut berikutan bilangan kes kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk yang dilihat semakin membimbangkan kebelakangan ini.

“Saya difahamkan pindaan akta ini akan dimuktamadkan pertengahan Jun depan sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibentangkan pada persidangan akan datang.

“Pindaan ke atas Akta 333 diharap dapat menetapkan hukuman mandatori lebih berat dan setimpal terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan apatah lagi kematian kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.

Muhyiddin berkata beliau juga berharap pindaan hukuman ini kelak akan memberi pembelaan kepada waris keluarga mangsa kemalangan yang terjejas akibat pemandu mabuk.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 21 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk dicatatkan sepanjang lima bulan pertama tahun ini dan daripada jumlah itu, lapan mangsa telah kehilangan nyawa.

Justeru menurut Muhyiddin, perkara ini amat membimbangkan kerana jumlah yang direkodkan menghampiri keseluruhan 23 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lepas.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

– BERNAMA


Pengarang :