AGENDANASIONAL

Polis Selangor rakam keterangan majlis kahwin di kuil

KUALA SELANGOR, 26 MEI: Polis Selangor mengesahkan telah merekodkan keterangan 33 individu berhubung dakwaan satu majlis perkahwinan diadakan di sebuah kuil di Seri Kembangan, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmad berkata, keterangan itu diperoleh daripada pengerusi kuil dan individu yang hadir ke majlis tersebut.

“Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Selain itu, siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan sebuah kuil di Seri Kembangan dipercayai mengadakan majlis perkahwinan yang dihadiri kira-kira 100 individu.

Kejadian itu dilaporkan disedari seorang individu yang melihat deretan kereta selain orang ramai berkumpul di dalam kuil berkenaan, sebelum merakamkan video.

Video tersebut kemudiannya tular di laman sosial kerana majlis itu berlangsung dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

– BERNAMA


Pengarang :