AGENDANASIONAL

Polis siasat majlis kahwin di kuil semasa PKP Bersyarat

PUTRAJAYA, 25 MEI: Polis sedang menyiasat satu majlis perkahwinan yang dilangsungkan di sebuah kuill Hindu di Serdang yang didakwa dihadiri ratusan tetamu, kata Menteri Kanan (Kluster) Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tindakan tersebut nyata melanggar tatacara operasi piawai (SOP) kelonggaran rumah ibadat kaum lain yang hanya akan bermula pada 10 Jun depan.

“Apa yang berlaku (majlis perkahwinan) adalah melanggar undang-undang dan difahamkan polis akan mengambil tindakan termasuklah kepada mereka yang menghadirinya,”katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.

Katanya, kelonggaran aktiviti di rumah ibadat mengikut SOP dan setakat ini hanyalah kepada aktiviti keagamaan, perkahwinan dan acara kematian belum dibenarkan.

Semalam, tular satu video yang menunjukkan sebuah kuil di Serdang dikunjungi hampir 100 penganut agama Hindu dipercayai bagi upacara perkahwinan walaupun kerajaan melarang perhimpunan termasuk di rumah ibadat berikutan pelaksanaan PKPB bagi membendung pandemik Covid-19

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Polis Ismadi Borhan pada satu sidang media di Seri Kembangan berkata siasatan menyeluruh akan dilakukan ke atas laporan berlakunya majlis perkahwinan tersebut.

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang risaukan keselamatannya selepas melakukan pendedahan itu yang didakwanya melanggar PKPB.

“Pengadu terdahulu telah memaklumkan gambar peribadinya diviralkan oleh beberapa individu di aplikasi WhatsApp ekoran pendedahannya dalam satu artikel di sebuah laman web bertajuk ‘Majlis Perkahwinan Dilangsungkan di Kuil Ibadat Taman Serdang Raya, Seri Kembangan, Selangor.

“Susulan itu, pengadu yang risau akan keselamatannya telah meminta polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Menurut beliau, polis telah berjumpa dengan pihak pengurusan kuil yang mengakui majlis itu berlangsung semalam dengan kehadiran 20 hingga 30 orang yang pada mulanya menafikan perkara itu.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan 2020) dan siasatan lanjut diteruskan untuk mengesan kesemua suspek.

Justeru, Ismadi meminta semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan komen yang boleh menggugat keamanan dan mendatangkan kegusaran awam, dan menasihati masyarakat mematuhi SOP.

– BERNAMA


Pengarang :