AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Portal Selangor Tutor aktif, lebih 72,000 pelajar daftar

SHAH ALAM, 8 MEI: Portal Selangor Tutor semakin aktif dan kini mempunyai 75,580 pelajar mengikuti e-pembelajaran percuma yang diperkenalkan Kerajaan Negeri pada 3 April lalu, kata setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar.

Borhan Aman Shah berkata keaktifan portal tersebut berdasarkan kekerapan soalan yang dijawab pelajar sehingga kini mencapai 2.34 juta.

Borhan Aman Shah. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Dengan jumlah pelajar yang semakin meningkat dan ditambah kekerapan soalan juga sudah banyak dijawab jelas menunjukkan sambutan amat memberangsangkan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri menggalakkan penyertaan semua pelajar tahun satu hingga tingkatan lima sama ada dari sekolah kerajaan, swasta atau di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk mendaftar kerana banyak manfaa diperoleh ketika sekolah belum dibuka,” katanya dalam wawancara Cencol Pak Ya yang disiar secara langsung di Facebook Institut Darul Ehsan hari ini.

Laman web itu menyediakan lebih 130,000 soalan latih tubi mengikut piawaian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ibu bapa juga boleh mengakses program untuk memantau perkembangan pembelajaran anak dari semasa ke semasa.

Inisiatif hasil kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Yayasan Selangor selaku agensi penyelaras program merupakan antara intipati Pakej Rangsangan Selangor Prihatin.

Berikut cara pendaftaran selangortutor.com yang masih dibuka sehingga 31 Mei:

1) Layari laman sesawang selangortutor.com
2) Klik butang daftar
3) Pilih nama sekolah dan peringkat
4) Isi maklumat ibu bapa dan anak
5) Klik butiran langganan
6) Pendaftaran berjaya

Cara layari selangortutor.com :

1) Layari laman sesawang selangortutor.com
2) Log masuk
3) Laman Profil
4) Klik modul – pilih subjek
5) Pilih topik
6) Mula membuat latihan
7) Keputusan serta merta
8) klik subjek dan laporan


Pengarang :