AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Premis niaga kurang beroperasi, kutipan sampah turun

SHAH ALAM, 31 MEI: Jumlah kutipan sampah domestik di Selangor menurun sehingga 20 peratus sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Ramli Mohd Tahir berkata jumlah itu kurang tujuh peratus pada minggu pertama dan menurun lagi sehingga 14.8 peratus dan kekal 24 peratus minggu seterusnya, lapor Sinar Harian.

“Angka ini menurun memandangkan kurang kutipan sampah di kawasan komersial kerana premis perniagaan banyak yang tidak dibenarkan beroperasi. Namun, peningkatan 10 hingga 15 peratus berlaku di kawasan kediaman kerana kebanyakan orang duduk di rumah.

“Bagaimanapun, angka itu tetap menurun berbanding tahun lalu susulan tiada pembaziran makanan berlaku terutama di bazar Ramadan, pasar pagi dan pasar malam,” katanya.

Mengulas mengenai kutipan sampah domestik sepanjang sambutan Aidilfitri, beliau berkata jumlah agak meningkat namun ia masih kekal dengan penurunan 20 peratus sehingga kini.

Sepanjang PKP, Ramli berkata KDEBWM menggerakkan lebih 8,000 pekerja di semua 12 pusat operasi dengan 1,000 lori angkut sampah berkapasiti 18 tan, 17.5 dan 17 tan lengkap dengan Sistem Pemantauan Kenderaan (VMS) dan kamera litar tertutup (CCTV).

“CCTV ini dipasang bagi memudahkan kita mengesan pergerakan dan menjaga keselamatan pekerja yang akan di pantau menerusi pusat kawalan sekali gus berupaya tangani aduan orang awam dengan kadar segera,” katanya.


Pengarang :