Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhamad berucap ketika menyambaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Tua, Batu Caves pada 19 MEI 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Program Pekawanis secara dalam talian, media sosial

BATU CAVES, 19 MEI: Semua program dan aktiviti Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) akan dilaksanakan secara dalam talian serta media sosial, kata yang dipertuanya.

Datin Seri Masdiana Muhamad berkata cara pelaksanaannya dibincangkan semalam bagi memastikan Pekawanis terus aktif membantu rakyat walaupun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD).

“Lepas ini semua ahli jawatan kuasa akan bincang bentuk program. Apa pun keputusan nanti, ia akan mengambil kira aspek keselamatan.

“Program-program juga perlu mendapat kerjasama semua pihak bagi memastikan matlamat penganjuran tercapai,” katanya kepada SelangorKini.

Masdiana turut meminta orang awam untuk terus patuh saranan kerajaan terutama berkenaan penggunaan pelitup muka, penjarakan sosial dan tahap kebersihan.

Katanya, selagi vaksin Covid-19 belum terhasil, semua pihak harus menerima norma baharu dan menyesuaikan diri dalam kehidupan masing-masing.

“Untuk hari raya kali ini walaupun sambutan berbeza, saya harap semua dapat meraikan bersama keluarga tersayang dan sentiasa menjaga diri,” katanya.

Terdahulu, Masdiana menyerahkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 30 penerima sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.


Pengarang :