AGENDANASIONAL

Program Pengekalan Pekerjaan masih beroperasi – Perkeso

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memberi jaminan bahawa Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) masih beroperasi dan mereka yang membuat permohonan sehingga 27 April akan terus mendapat bantuan kewangan seperti kelulusan.

Kenyataan Perkeso menjelaskan bahawa mesej di Twitter yang tular dan mendakwa bahawa peruntukan tidak mencukupi bagi program itu adalah ciapan tanpa kebenaran dan tidak menggambarkan kemajuan sebenar program tersebut.

“Setakat hari ini, Perkeso menerima sejumlah 27,222 permohonan daripada majikan membabitkan 230,652 pekerja dan peruntukan sebanyak RM120 juta sebagai bantuan kewangan kepada 200,000 pekerja di bawah program itu.

“Ketika ini, Perkeso sedang memproses permohonan itu dan mengeluarkan peruntukan kepada permohonan yang diluluskan berdasarkan syarat-syarat kelayakan,” menurut kenyataan itu.

Pada 16 Mac, kerajaan telah mengumumkan ERP di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bagi mengurangkan beban majikan yang terjejas secara ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Menurut kenyataan itu, kerajaan telah memperuntukkan RM120 juta bagi program tersebut yang mana RM60 juta adalah daripada kerajaan manakala RM60 juta adalah daripada Skim Insurans Pekerjaan Perkeso (EIS).

“Bantuan kewangan bernilai RM600 sebulan adalah bertujuan membantu pekerja yang diberikan Cuti Tanpa Gaji dengan persetujuan dan bantuan dibayar melalui majikan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular di Twitter bahawa program ERP ditutup berkuat kuasa pada 22 April dan permohonan yang dikemukakan selepas tarikh itu tidak akan diproses.

-BERNAMA


Pengarang :