Orang awam membeli keperluan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 16 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pusat beli belah ditutup langgar SOP perintah kawalan dibuka semula

JOHOR BAHRU, 26 MEI: Sebuah pusat membeli-belah yang diarahkan tutup kerana tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam, telah dibuka semula hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Aman Rabu, ketika mengesahkan perkara itu, berkata pusat beli-belah itu dibuka semula selepas Jabatan Kesihatan Negeri Johor menerima permohonan untuk beroperasi semula daripada pihak pengurusan premis tersebut.

“Betul, telah dibenarkan buka semula setelah permohonan mereka diterima dan pemantauan semula oleh pasukan penguat kuasa yang berpuas hati dengan SOP yang dipatuhi.

“Mereka telah mengemukakan permohonan itu pagi tadi,” katanya kepada Bernama malam ini.

Beliau diminta mengulas surat kebenaran membuka semula premis itu yang tular di media sosial sejak petang tadi.

Semalam, pusat membeli-belah di Taman Desa Tebrau itu diarahkan tutup mulai 25 Mei sehingga 1 Jun depan kerana gagal mengawal pengunjung dalam premis selain tidak memastikan penjarakan sosial dipatuhi dan cecair pembasmi kuman digunakan.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri R Vidyananthan berkata pihak pengurusan boleh membuka semula premis sekiranya mematuhi SOP yang ditetapkan.

– BERNAMA


Pengarang :