Selangorkini
Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 14 Mei 2020 daripada pertuduhan pengubahan wang haram. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Rakyat ‘meluat dan geram’ lepas Riza Aziz, kata Tun Mahathir

SHAH ALAM, 21 MEI: Masyarakat “meluat dan geram” terhadap keputusan melepaskan anak tiri Datuk Seri Najib Razak daripada kes pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Apakah ini bentuk keadilan yang diamalkan di Malaysia?” kata bekas perdana menteri, merujuk kes Riza Aziz menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Mereka yang terlibat mendakwa (kes ini) membantah bahawa mereka membuat keputusan ini (melepaskan tetapi tidak membebaskan Riza).

“Jelas sekali, mereka ini tahu bahawa keputusan itu salah,” katanya lagi, merujuk tokoh yang terlibat mendakwanya, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, yang menafi menyokong keputusan itu.

Pada 14 Mei lalu, mahkamah membenarkan permohonan untuk melepaskan Riza dengan syarat tertuduh memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta).

Menulis di blognya hari ini, Dr Mahathir juga berkata keputusan tersebut akan membolehkan anak Datin Seri Rosmah Mansor itu “menyimpan wang curi itu dan boleh pula terlepas hukuman.”

Bekas perdana menteri seterusnya mendakwa kerajaan baharu Perikatan Nasional sebagai didukung oleh “pemimpin-pemimpin yang mempunyai latar belakang jenayah.”

“Kita ada kerajaan baharu di Malaysia (sejak 1 Mac). Kerajaan ini boleh ditubuh kerana ia disokong oleh mereka yang sedang dibicarakan bagi kes mencuri wang, pengubahan wang haram dan rasuah.

“Kita tidak yakin bahawa keadilan akan ditegakkan di negara ini kerana kekuasaan dan pengaruh penjenayah ini,” katanya.


Pengarang :