Paparan skrin LHDN bagi memohon BPN. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rayuan BPN lalui proses saringan dipantau 11 agensi

CYBERJAYA, 12 MEI: Pemohon Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang sebelum ini permohonan mereka ditolak, terutama individu yang mempunyai syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kini boleh mengemukakan rayuan di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau secara dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Datuk Sabin Samitah berkata mereka boleh hadir ke mana-mana cawangan LHDN dan mengisi borang rayuan yang diberikan di samping menyertakan sekali dokumen sokongan sebagai bukti kedudukan kewangan.

“Setiap proses permohonan atau rayuan akan melalui proses saringan yang telah ditetapkan dalam pangkalan data sistem LHDN khas untuk tujuan BPN ini,” katanya dalam temu bual bersama media di sini, hari ini.

Beliau berkata LHDN akan melakukan semakan silang dengan pangkalan data terkini daripada 11 agensi berkaitan termasuk SSM, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Semakan ini bertujuan mengelakkan sebarang penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, katanya.

“Contohnya, kita dapat mengenal pasti pemohon yang memiliki syarikat, dengan pangkalan data menunjukkan syarikat aktif berdasarkan aktiviti transaksi perbankan syarikat yang terlibat,” katanya.

Sabin berkata bagi isu pemohon yang berdaftar dengan SSM, LHDN menasihatkan mereka supaya memfailkan borang nyata cukai pendapatan masing-masing untuk mengelak isu ini berulang.

“Pengisytiharan pendapatan kepada LHDN tidak bermaksud seseorang itu secara automatik akan dikenakan cukai.

“Ini kerana perniagaan pasti ada pendapatan dan perbelanjaan yang dibenarkan sebagai tolakan, dan hanya keuntungan akan dikenakan cukai,” katanya.

Beliau berkata bagi yang kehilangan pekerjaan atau diberhentikan pada tahun ini atau tahun lepas, mereka perlu mengemukakan surat pemberhentian dan penyata gaji terakhir dalam rayuan itu.

“Ini kerana LHDN menggunakan rekod percukaian Tahun Taksiran 2018 dan pangkalan data kerajaan yang berkaitan. Kita tidak dapat menggunakan rekod 2019 kerana tempoh pengisytiharan cukai masih belum ditutup dan telah dilanjutkan disebabkan Covid-19,” katanya.

Bagi kes pemohon yang dikatakan telah meninggal dunia tetapi masih hidup, Sabin berkata ia merupakan kes terpencil dan data telah diambil daripada JPN.

“Individu berkenaan boleh membuat rayuan dengan LHDN untuk mendapat BPN namun beliau juga perlu ke JPN untuk membetulkan rekod tersebut,” katanya.

Kementerian Kewangan dalam laporan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang dikeluarkan hari ini berkata sehingga 10 Mei, sebanyak RM11 bilion termasuk tambahan RM1 bilion daripada peruntukan asal RM10 bilion telah diluluskan dan 10.6 juta rakyat merupakan penerima BPN.

Tempoh rayuan BPN juga dilanjutkan sehingga 31 Mei ini dan bagi permohonan yang tidak luluskan, pemohon boleh menghantar e-mel berserta dokumen berkenaan kepada [email protected] atau hadir ke mana-mana kaunter LHDN di seluruh negara.

– BERNAMA


Pengarang :