Aliran trafik di Plaza Tol Gombak menghala Karak sesak ekoran sekatan jalan raya ketika tinjauan pada 16 Mei 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rentas negeri tanpa sebab jejas pergerakan petugas barisan hadapan

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Tindakan segelintir individu melakukan perjalanan rentas negeri tanpa alasan munasabah hanya mengganggu pergerakan petugas barisan hadapan yang kini berusaha mengekang penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya mengganggu kelancaran pergerakan kenderaan perkhidmatan perlu untuk sampai ke destinasi tertentu.

Katanya tindakan tegas termasuk kompaun akan dikenakan terhadap individu yang cuba melakukan pergerakan rentas negeri untuk menyambut Aidilfitri.

“Nasihat saya… polis akan bertegas dan arahkan mereka (yang tidak mendapat kebenaran rentas negeri) berpatah balik.

“Jika degil, tindakan kompaun dan undang-undang akan diambil dan saya seru semua pihak berkorban demi kebaikan bersama… ianya hanya untuk raya tahun ini sahaja,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata pasukan ‘jam squad’ masih ditugaskan memantau kesesakan lalu lintas yang berlaku di sekatan jalan raya.

“Pasukan ini akan memberi nasihat serta memastikan aliran trafik di sekatan jalan raya lancar,” katanya.

Pada 19 April lepas, Azisman berkata polis menubuhkan pasukan ‘jam squad’ yang dianggotai 20 anggota bermotosikal bagi memantau kesesakan lalu lintas di sekatan jalan raya sekitar Lembah Klang sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

-BERNAMA


Pengarang :