AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka susut sedikit berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini ketika permintaan beralih kepada mata wang negara maju itu susulan data ekonominya yang positif.

Pada 9.17 pagi, unit tempatan itu disebut harga pada 4.3060/3160 berbanding dolar AS daripada 4.3030/3100 sewaktu ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata sentimen pasaran masih tidak menentu dan para pelabur masih menganggap dolar AS sebagai selamat.

“Oleh itu secara semula jadinya apabila AS mengumumkan data lebih baik daripada jangkaan awal bagi sektor perkhidmatan negara pada April, para pelabur bertumpu terhadap mata wang negara maju itu,” katanya.

Beliau berkata sebarang prospek AS untuk membuka semula ekonominya akan terus menyokong mata wangnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain, kecuali yen yang menyaksikannya merosot kepada 4.0508/0614 daripada 4.0268/0337 sewaktu ditutup semalam.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0373/0454 daripada 3.0384/0440, naik berbanding pound Britain kepada 5.3524/3657 daripada 5.3542/3642 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6647/6772 daripada 4.6679/6772.

– BERNAMA


Pengarang :