AGENDAEKONOMI

Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati berbanding dolar AS minggu depan dengan pelabur memantau rapat perkembangan berkaitan Covid-19, ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku pertama 2020.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata tumpuan turut diberikan kepada jualan runcit dan pengeluaran industri China yang dikeluarkan pada Jumaat minggu depan dijangka kukuh memandangkan situasi pulih di negara itu.

“Dagangan dijangkakan tidak stabil pada awal minggu depan menjelang pertemuan ketua perdagangan AS-China, namun, seharusnya tidak terlalu banyak halangan kerana China dijangka mengesahkan obligasinya untuk memenuhi komitmen perjanjian perdagangan terhad bagi fasa satu.

“Saya berpendapat ringgit dijangka diniagakan secara bersifat defensif namun dijangka meningkat berikutan harga minyak mentah yang terus stabil dan data China yang positif pada minggu itu,” katanya kepada Bernama.

Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan data KDNK Malaysia bagi suku pertama 2020 pada 13 Mei ini (Rabu).

Seorang lagi peniaga berkata KDNK negara bagi suku pertama dijangkakan lemah memandangkan aktiviti ekonomi merosot ketara akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan virus itu.

Penularan jangkitan Covid-19 yang meluas dan dikesan di negara ini buat pertama kalinya pada Januari lepas menggesa kerajaan untuk memperkenalkan PKP di mana rakyat perlu kekal berada di rumah dan menutup operasi perniagaan memandangkan Malaysia berusaha untuk melandaikan graf jangkitan virus itu.

Pandemik itu turut menyebabkan kerajaan menutup sempadan dan menjadikan sektor pelancongan yang membawa keuntungan turut terhenti.

“Sekatan keluar masuk yang berlaku kepada hampir seluruh negara di dunia mengurangkan aktiviti perniagaan dan menyebabkan sektor pelancongan terjejas teruk,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, berasaskan Khamis ke Jumaat, mata wang tempatan kebanyakannya ditutup rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit rendah berbanding dolar AS kepada 4.3310/3370 daripada 4.2950/2050 pada Khamis minggu lepas dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0645/0696 daripada 3.0461/0543.

Mata wang tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 4.0716/0780 daripada 4.0253/0358 dan rendah berbanding euro kepada 4.6948/6022 daripada 4.6639/6765.

Bagaimanapun unit tempatan itu naik berbanding pound Britain kepada 5.3626/3718 daripada 5.3675/3808.

-BERNAMA


Pengarang :