AGENDANASIONAL

Rugi RM74,162 diperdaya syarikat pemberi pinjaman tidak wujud

KUANTAN, 22 MEI: Bukan hanya pinjaman dinanti tidak dapat, seorang pengurus mendakwa kerugian RM74,162, akibat diperdayakan oleh syarikat pemberi pinjaman wang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 47 tahun mendakwa menerima iklan tawaran pinjaman itu yang dihantar ke telefon pintarnya menerusi pesanan WhatsApp, pada 14 Mei lalu.

Mangsa yang berminat dengan tawaran itu telah menghubungi nombor yang tertera di iklan tersebut, bagi mendapatkan maklumat lanjut dan berurusan dengan seorang suspek lelaki, kononnya kakitangan bahagian kewangan di dua buah bank.

“Suspek dikatakan membuat promosi pinjaman kewangan yang dijanjikan moratorium selama enam bulan ekoran penularan wabak Covid-19, menyebabkan mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman peribadi RM150,000.

“Mangsa menghantar butiran peribadi termasuk salinan kad pengenalan kepada suspek, yang dikatakan akan membantu proses pinjaman itu secara atas talian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa menerima salinan surat kelulusan pinjaman sebanyak RM140,000 daripada suspek pada keesokan harinya, namun perlu menunggu panggilan telefon daripada ‘kakitangan bank’ bagi urusan penerimaan wang.

Mangsa mendakwa dihubungi tiga lelaki dalam tempoh beberapa hari kemudian yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan bank dan meminta dia membuat bayaran atas pelbagai alasan, sebelum menerima wang tersebut.

“Antara alasan yang diberikan ialah bayaran proses, insurans dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang didakwa mangsa telah dijelaskan secara berperingkat sehingga Rabu lalu, yang akhirnya berjumlah RM74,162.

“Mangsa bagaiamanapun mulai risau dengan keselamatan dirinya, apabila salah seorang suspek mengugut mahu menyebarkan maklumat peribadinya selepas dia kerap bertanya mengenai pinjaman tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Mentakab, Temerloh dekat sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seskyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :