AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Rumah Seni Selangor agih bantuan buat karyawan terjejas, sakit kronik

SHAH ALAM 26 MEI: Empat karyawan termasuk dua menghidap penyakit kronik antara penerima bantuan hasil jualan amal Pameran Seni Amal SENI-KOV19 fasa satu dan dua anjuran Rumah Seni Selangor (RUsSel).

Kurator pameran, Alina Abdullah berkata seramai 30 karyawan muda di sembilan studio seni dan perkumpulan pelukis antaranya Studio Kotak Lampu, Studio Anak Muda, Studio Kongsi dan Studio Pedu turut menerima sumbangan.

Beliau berkata Studio Tuah, Studio Kachang Art dan Studio Temu yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan Covid-19 juga antara penerima bantuan.

“Jumlah kutipan daripada 22 penyumbang disalur mulai 22 Mei lalu berdasarkan 80 peratus daripada karya pada fasa pertama berjaya dijual manakala setakat ini tiga karya pada fasa kedua yang sedang dijalankan.

“Pameran ini akan diteruskan dan kita sebenarnya mendapat banyak permintaan karyawan yang berminat menyertai pameran maya seumpama ini memandangkan penganjuran secara fizikal tidak dapat diadakan,” kata Alina.

Pengagihan berkenaan dibuat hasil jualan amal pameran berkenaan yang mengutip dana RM10,455 setakat ini.

Fasa kedua pameran memperaga lukisan dan arca karya 29 karyawan termasuk Dekan Fakulti Seni Halus Akademi Seni Halus Budaya dan Warisan Kebangsaan, Suzlee Ibrahim dan Ketua Jabatan Seni Lukis Institut Seni Lukis Malaysia, Liu Cheng Hua.

Antara artis lain, Abdullah Jones, Tan Jee Ling, Elly Nor Suria M Zainuddin, Stephen Menon, Anisa Abdullah, Amir Amin, Liu Cheng Hua, Azizan Paiman dan Arikwibowa Amril.


Pengarang :