Lukisan cat minyak atas kanvas berjudul ‘TANDA (Tanya) karya Ahmad Fuad Osman antara yang dijual untuk Tabung Karyawan Seni Rupa. Foto ihsan RUsSEL
BERITA UTAMASELANGORSENI

Rumah Seni Selangor kutip hampir RM10,000 bantu seniman

SHAH ALAM, 3 MEI: Tabung Karyawan Seni Rupa mengutip dana berjumlah RM9,680 setakat ini, kata penolong pengurus Rumah Seni Selangor (RUsSEL).

Alina Abdullah berkata seramai 20 penyumbang menyalurkan ke tabung berkenaan untuk diagih kepada golongan seniman yang memerlukan susulan wabak Covid-19.

“Terima kasih kepada para penyumbang! Kami juga telah mengenal pasti karyawan seni halus yang amat memerlukan bantuan. Agihan akan diberi dalam masa terdekat,” katanya menerusi Twitter malam tadi.

Sebanyak 28 karya dalam bentuk lukisan, cetakan, catan dan arca membabitkan 18 artis termasuk Ahmad Fuad Osman, Bayu Utomo, Suddin Lappo dan Hasmi Hashim dijual secara maya.

RUsSEL juga mengulang cetak edisi terhad ‘tugu’ petugas barisan hadapan menggunakan teknik sutera saring atas kertas karya Haris Abadi berikutan sambutan ramai.

Orang ramai boleh menghubungi 016-7744840 untuk tempahan. Karya dihantar selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan.

Sumbangan ke tabung itu juga boleh dibuat menerusi Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 14171010009846 atas nama Pertubuhan Komuniti Artport Malaysia (Rujukan: COVART19).


Pengarang :