Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil sampel ketika menjalankan saringan Covid-19 terhadap peniaga di Pasar Besar Seremban pada 3 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sabak Bernam daerah kedua diisytihar zon hijau

SHAH ALAM, 9 MEI: Sabak Bernam menjadi daerah terbaharu di Selangor dikategorikan sebagai zon hijau susulan tiada pertambahan kes aktif Covid-19 hari ini.

Daerah itu yang mencatatkan sifar kes di semua mukim menjadi kawasan kedua berada dalam zon tersebut selepas Kuala Langat.

“Mukim Pasir Panjang menjadi mukim ke-33 berstatus zon hijau manakala mukim Hulu Langat pula bertambah baik ke zon kuning. Tahniah dan syabas semua,” tulis Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Twitter malam ini.

Lima daerah berada dalam zon kuning iaitu Kuala Selangor (13), Klang (15), Hulu Langat (33), Hulu Selangor (tiga) dan Sepang (satu) manakala zon merah ialah Petaling (62) dan Gombak (79).

Sementara itu, STFC mengingatkan orang ramai untuk mematuhi amalan norma baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai walaupun situasi semakin baik.

Katanya, penjarakan sosial, kebersihan diri, memakai pelitup muka dan mengimbas SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) seharusnya dijadikan tabiat baharu untuk rakyat Selangor.


Pengarang :