Anggota polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19 di Bangsar, Kuala Lumpur pada 26 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN /SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Salah anggap PKP sudah tamat, esok `raya’- Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 3 MEI: Persepsi bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah tamat apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok, adalah tanggapan salah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau sebaliknya menegaskan bahawa PKP masih berkuat kuasa tetapi dengan menggunakan pendekatan kepatuhan sosial dan disiplin terhadap tatacara operasi piawai (SOP) dalam mengawal jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Beliau berkata pendekatan SOP dalam PKPB adalah sama seperti yang diamalkan di Korea Selatan, Taiwan dan Sweden yang mampu mengawal Covid-19 tanpa melaksanakan PKP, sebaliknya menggunakan kepatuhan sosial dan disiplin yang tinggi.

“Persepsi yang menganggap kerajaan sudah tamatkan PKP dan esok kita ‘raya’ dan tidak ada PKP contohnya, adalah satu persepsi yang salah. PKP masih ada,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata selepas melaksanakan pendekatan PKP, Malaysia menggunakan pendekatan SOP untuk mengawal Covid-19 dan kerjasama bersepadu antara kerajaan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan rakyat adalah penting untuk menghentikan penularan pandemik itu di negara ini.

Jelas beliau Malaysia telah melaksanakan empat fasa PKP dan berjaya melandaikan lekuk Covid-19 dan kini negara menggunakan pendekatan SOP yang menuntut pematuhan sosial dan disiplin yang tinggi daripada rakyat.

Dr Noor Hisham berkata kelonggaran PKPB diberikan hanya kepada mereka yang boleh mematuhi SOP seperti yang ditetapkan KKM.

“Kalau ada negeri, syarikat atau perniagaan yang tidak dapat mematuhi syarat-syarat PKPB yang ditetapkan KKM, maka mereka kembali kepada arahan PKP yang mengguna pakai Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Mereka yang rasa tidak dapat mematuhi SOP, kita nasihat kekal duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting sahaja,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga sedang melihat kaedah untuk memantapkan perkhidmatan kepada warga emas yang dikenal pasti kumpulan berisiko tinggi untuk jangkitan Covid-19, termasuk memberikan rawatan di rumah.

– BERNAMA


Pengarang :