Pasukan petugas perubatan menjalankan saringan Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan Komuniti di Selayang catat satu kes tiada gejala

SHAH ALAM, 9 MEI: Seorang daripada 1,653 individu didapati positif Covid-19 melalui Saringan Komuniti bersasar di Bandar Baru Selayang pada 22 hingga 23 April lalu.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan pesakit tersebut tidak bergejala.

“Saringan Komuniti bersasar dijalankan sebagai satu pendekatan ‘Kesan Awal, Asing Awal, Rawat Awal’ bagi menurunkan kadar penularan dan kematian ke tahap lebih rendah,” katanya di Facebook hari ini.

STFC memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor turut terlibat dalam mesyuarat gerak kerja operasi dan bersetuju dengan tatacara operasi piawai (SOP) mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada 28 April lalu, seramai 10 daripada 5,433 individu yang disaring dalam beberapa siri pemeriksaan komuniti bersasar disahkan positif Covid-19. Lapan daripadanya tidak bergejala.

Kerajaan Negeri memulakan Saringan Komuniti bersasar di kawasan zon merah bagi membantu melandaikan keluk dan memutuskan rantaian wabak.

Saringan secara pandu lalu dan dari rumah ke rumah dilakukan secara berperingkat membabitkan kawasan Hulu Langat, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Petaling dan Klang, Shah Alam, Sepang, Hulu Selangor serta Gombak.


Pengarang :