AGENDANASIONAL

Saringan Prihatin Covid-19 Perkeso hanya melalui janji temu

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Program Saringan Prihatin (PSP) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hanya akan dilaksanakan melalui janji temu yang ditetapkan dengan penyedia perkhidmatan, berkuat kuasa serta-merta.

Perkeso dalam kenyataan memaklumkan ini berikutan sambutan amat menggalakkan daripada majikan dan pekerja sehingga mengakibatkan kesesakan di lokasi saringan.

Katanya, situasi tersebut sekali gus dikhuatiri akan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) kerajaan terutama dalam pelaksanaan jarak sosial.

“Sehingga kini, lebih 300,000 pekerja berdaftar untuk program saringan tersebut. Daripada jumlah tersebut, lebih 50,000 pekerja sudah menjalani ujian saringan.

“Pekerja dan majikan boleh merujuk portal https://psp.perkeso.gov.my untuk mendapatkan maklumat berhubung penyedia perkhidmatan serta janji temu bagi ujian saringan,” menurut kenyataan itu.

PSP Perkeso merupakan program ujian saringan Covid-19 secara percuma kepada pekerja termasuk pekerja asing yang berdaftar dengan Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) bagi syarikat yang dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tertakluk kepada garis panduan yang disediakan bermula 27 April lalu.

-BERNAMA


Pengarang :