AGENDANASIONAL

‘Saya masih lagi pengerusi’ – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Jawatan Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiada dalam perlembagaan parti dan tiada kuasa untuk memecat ahli, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pemecatan beliau sebagai pengerusi parti dan empat lagi pemimpin parti semalam adalah satu perkara di luar kebiasaan dan menyifatkan keputusan itu tidak sah.

“(Jawatan) setiausaha kerja tiada dalam perlembagaan parti dan dia tidak mempunyai apa-apa kuasa pun berdasarkan perlembagaan. Dia cuma menjalankan tugas dan arahan tyang diberi oleh setiausaha.

“Tiba-tiba semalam saya dapat surat setiausaha kerja pecat saya, pengerusi boleh kena buang oleh setiausaha kerja,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, di sini hari ini.

Semalam, keahlian Dr Mahathir dan empat pemimpin lagi dihentikan serta-merta kerana mereka menyertai blok pembangkang semasa sidang Parlimen baru-baru ini.

Empat lagi ialah Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar). Dr Mahathir merupakan Anggota Parlimen Langkawi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata beliau juga telah membuat keputusan untuk melucutkan jawatan Muhammad Suhaimi sebagai setiausaha kerja Bersatu dan digantikan dengan Datuk Sazmi Miah berkuat kuasa hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai status jawatannya di parti itu, Dr Mahathir berkata beliau masih lagi pengerusi Bersatu yang sah.

“Saya masih pengerusi kerana apabila mereka cuba mengeluarkan saya, ia tidak sah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :