Anggota polis melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Lebuhraya Cheras-Kajang, Kajang pada 15 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sekatan jalan diteruskan pada hari raya, tambah jika perlu – Polis

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Polis menafikan dakwaan kononnya tiada sekatan jalan raya (SJR) akan diadakan di seluruh negara pada Hari Raya Aidilfitri esok.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata SJR akan dilaksanakan seperti biasa dan bilangannya akan ditambah jika terdapat keperluan.

“Sekatan jalan raya diteruskan di tempat sedia ada dan pemeriksaaan teliti serta kompaun akan dikenakan kepada orang yang cuba rentas negeri.

“Mereka juga akan diarahkan untuk berpatah balik,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa tiasa SJR diadakan esok dan orang ramai boleh melakukan perjalanan rentas negeri.

Bernama semalam melaporkan, aliran trafik di Plaza Tol Jalan Duta meningkat sekali ganda menjelang tengah hari berbanding waktu pagi.

Tinjauan yang bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari itu mendapati ramai pemandu diarah untuk berpatah balik kerana tidak mempunyai dokumen yang sah untuk melakukan perjalanan rentas negeri.

Dalam pada itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik menuju Pantai Timur di Plaza Tol Gombak sedikit perlahan berikutan pelaksanaan SJR bagi mengekang cubaan rentas negeri.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 1,613 kenderaan yang cuba merentas negeri diarah berpatah balik semalam.

– BERNAMA


Pengarang :