Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas taklimat dan perkongsian e-bazar raya Selangor di Bilik MTES SUK, Shah Alam pada 5 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor berhati-hati buka semula sektor ekonomi

SHAH ALAM, 5 MEI: Kerajaan Negeri mengambil langkah berhati-hati membuka semula sektor ekonomi di Selangor dengan mengubahsuai beberapa perkara dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia bagi mengelak wujudnya kluster baharu Covid-19 selepas wabak itu berjaya dikurangkan selain masih berada di sekitar khalayak.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sudah memulakan beberapa siri perbincangan di semua peringkat berhubung pembukaan sektor berkaitan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bermula sebelum kerajaan Persekutuan mengumumkan PKPB.

“Saya percaya keputusan dibuat Selangor berada dalam lingkungan dibenarkan undang-undang.

“….Saya percaya ini tempoh peralihan yang memerlukan kita lebih berhati-hati kerana selepas kita melandaikan (jumlah kes baharu), kita tidak boleh benarkan atau cuba leka dan kurang berhati-hati kerana ia boleh menyebabkan kluster besar seperti Sri Petaling wujud,” katanya ketika sidang media di Bilik Majlis Tindakan Ekonomi (MTES) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Kanan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai kemungkinan Kerajaan Negeri terdedah kepada tindakan undang-undang jika menghalang syarikat kembali beroperasi mulai semalam.

Ubah suai PKPB dilakukan Selangor membabitkan perincian peraturan terhadap sektor perniagaan, industri pembinaan dan aktiviti sukan.

Amirudin berkata keutamaan kini adalah mengekalkan amalan kebersihan seperti dilakukan sebelumnya dan menjadikan PKP selama lebih sebulan sebagai pengajaran.

Beliau percaya hubungan baik dengan semua pelabur di Selangor akan merancakkan kembali sektor ekonomi selepas terkesan akibat pandemik Covid-19.


Pengarang :