AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor bincang dengan PBT sebelum benarkan sektor beroperasi

SHAH ALAM, 2 MEI: Kerajaan Negeri akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu sebelum membenarkan semua sektor industri beroperasi,  kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertemuan itu bagi meneliti kaedah penguatkuasaan dan garis panduan supaya tiada peningkatan kes Covid-19 di Selangor, lapor Astro Awani.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Dewan Serbaguna MPAJ AU5, Keramat pada 11, April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita akan cuba melihat peringkat demi peringkat termasuk kesiapsiagaan PBT kerana mereka perlu menilai bagaimana operasi kedai makan dan bilangan penguat kuasa untuk serbu kedai makan.

“Ia belum termasuk pusat hiburan haram dan aktiviti riadah. Jika saya buka Taman Tasik Shah Alam, saya tidak tahu berapa ribu orang akan datang ke sana serta pengawalan di sana.

“Semua ini perlu diperincikan dan tidak boleh siap dalam satu hari,” katanya ketika mengunjungi e-bazar Ramadan Selangor di Petaling Jaya hari ini.

Beliau bimbang pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas terdedah kepada jangkitan Covid-19 jika premis berkenaan dibuka.

“Pusat jagaan kanak-kanak akan menghimpunkan 20 atau 30 orang budak, jadi bagaimana kita mahu memastikan mereka terjaga termasuk rumah jagaan orang tua.

“Kita akan cuba dapatkan kata putus berkaitan garis panduan esok, tetapi pelaksanaan tidak boleh tergesa-gesa pada 4 Mei (Isnin) berjalan semua sebagaimana dianggapkan,” kata beliau.


Pengarang :