Seorang penduduk menerima barangan keperluan harian daripada ahli keluarganya melalui dawai kawad berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Baru Selayang pada 29 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN /SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor catat 21 kes baharu wabak, MB mahu rakyat waspada

PETALING JAYA, 4 MEI: Selangor merekodkan 21 kes baharu Covid-19 hari ini dengan Petaling mencatat tambahan kes tertinggi iaitu 13, setakat petang tadi.

Menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor, daerah tersebut keseluruhannya mencatat 52 kes aktif sekali gus kembali ke zon merah.

Daerah Gombak yang berada dalam zon sama turut mencatat tambahan tujuh kes, keseluruhannya 94 kes aktif manakala satu lagi di Kuala Selangor (13 kes aktif).

Kes aktif di Hulu Langat pula ialah 47, Klang (13), Kuala Langat (6), Sepang (3), Sabak Bernam (2) dan Hulu Selangor (1). Jumlah kes aktif di Selangor setakat ini ialah 231.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peningkatan kes di Gombak berpunca daripada penemuan kes di Selayang Baru sementara Petaling akibat sub kluster pasar borong Kuala Lumpur.

“Kita wajar lebih berhati-hati dan Kerajaan Negeri sedang meneliti beberapa langkah susulan bagi menangani penularan Covid-19 di pasar awam,” tulisnya di Twitter malam ini.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor turut mengingatkan masyarakat supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan dan menjaga kebersihan.

“Ketidaktentuan ini menunjukkan penjarakan sosial dan memelihara kebersihan jangan dipandang sebelah mata,” tulis pasukan itu di Twitter.

Jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini turun semula kepada dua digit iaitu 55 kes, selepas dua hari berturut-turut mencatatkan tiga digit.

Semalam, Malaysia mencatatkan 122 kes Covid-19 manakala kelmarin sebanyak 105 kes. Jumlah kes keseluruhan ialah 6,353.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 55 kes baharu yang dilaporkan hari ini, tujuh daripadanya adalah kes import.


Pengarang :