BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor laksana pemutihan lesen peniaga, elak salah guna

SHAH ALAM, 19 MEI: Kerajaan Negeri sedang melaksanakan proses pemutihan lesen peniaga dan penjaja di luar bandar susulan terdapat aduan salah guna.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata daripada 20,000 peniaga berdaftar, hampir 7,000 daripadanya menyewakan lesen kepada pihak ketiga termasuk warga asing.

“Perkara ini amat serius dan tidak boleh diterima sama sekali, kita beri mereka peluang berniaga tetapi mereka ambil kesempatan dan salah guna.

“Saya sudah minta agensi Kerajaan Negeri dengan kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan melaksanakan proses pemutihan. Kita tarik kemudahan perniagaan dan berikan kepada mereka yang betul-betul mahu berniaga,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Dalam pada itu, Rodziah berkata semakin ramai peniaga di luar bandar memulakan perniagaan secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ada hikmahnya PKP apabila peniaga di kawasan kampung dahulu tidak pernah menjual barang secara dalam talian tetapi sekarang semakin ramai mulakan langkah sekali gus menepati usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing di Selangor, ” katanya.


Pengarang :