Pelanggan membeli makanan bungkus di Restoran L&S Food Corner, Bandar Baru Ampang ketika tinjauan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan pada 22 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor perkenal SELangkah, sistem jejak jangkitan Covid-19

SHAH ALAM, 4 MEI: Kerajaan Negeri memperkenalkan SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) iaitu sistem pendaftaran keluar masuk individu ke premis perniagaan atau jabatan kerajaan bagi menjejak jangkitan virus Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata konsep SELangkah bertujuan melindungi premis perniagaan, pelanggan dan pasukan barisan hadapan dengan mudah dan pantas.

Beliau berkata pemilik premis diminta mencetak dan mempamer kod QR di tempat perniagaan masing-masing melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my yang boleh dicapai mulai esok.

“Kebanyakan premis perniagaan telah didaftarkan tetapi jika belum mendaftar mereka boleh melakukan sendiri di portal tersebut.

“Pengunjung premis pula diminta untuk mengimbas poster kod QR menggunakan fungsi kamera di telefon bimbit, sama ada sebelum atau semasa masuk ke premis bergantung kepada tatacara pemilik perniagaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata log lawatan pengunjung premis itu dikawal selia pentadbiran Kerajaan Negeri dan diaktifkan pegawai kesihatan awam jika terdapat insiden Covid-19 dilaporkan di premis tersebut.

Katanya, inisiatif itu juga bagi memperkukuh kesiapsiagaan entiti perniagaan dan melengkapi ikhtiar pengesanan kontak oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri optimis SELangkah dapat membentuk norma baharu bagi kegiatan ekonomi semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai seperti diamalkan di Korea Selatan.

“Bagaimanapun, kawalan wabak ini cuma akan berkesan apabila semua pihak memainkan peranan kerana sesungguhnya kesihatan adalah urusan semua,” katanya.


Pengarang :