Petugas kesihatan menunjukkan sampel ujian saringan Covid-19 yang dibuat melalui kaedah pandu lalu di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam pada 20 April lalu. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Selangor rekod lima kes baharu Covid-19, turun banding semalam

SHAH ALAM, 30 MEI: Kes positif Covid-19 di Selangor hari ini turun ke angka satu digit apabila mencatatkan lima kes berbanding 28 yang direkodkan semalam.

Menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS) perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini sebanyak 1,878 dengan 251 aktif setakat 12 tengah hari tadi.

“Dua kes dicatatkan di Hulu Langat merupakan kluster Madrasah An-Nabawiyah manakala satu kes di Petaling membabitkan saringan pusat jagaan warga emas.

“Baki dua kes lagi masing-masing kes import yang mendapat jangkitan dari Netherlands dan Qatar,” katanya.

Data berkenaan turut menunjukkan bilangan pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital sebanyak 1,530 manakala angka korban akibat pandemik itu kekal 22 orang.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menggesa masyarakat supaya terus berhati-hati dengan ancaman pembawa tanpa sindrom yang mungkin berada di kawasan berdekatan.

“Pastikan anda sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, jaga kebersihan diri dan sentiasa pakai pelitup muka. Sayangi kebebasan anda dengan berdisiplin serta bertanggungjawab,” tulisnya di Facebook.


Pengarang :