Aliran trafik di Plaza Tol Gombak menghala Karak sesak ekoran sekatan jalan raya ketika tinjauan pada 16 Mei 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Selangor terus rekod kenderaan paling banyak diarah patah balik

SHAH ALAM, 24 MEI: Penduduk Selangor kekal mencatatkan cubaan rentas negeri tertinggi apabila 460 daripada 1,158 kenderaan di seluruh negara diarahkan berpatah balik semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia diikuti Melaka 121 kenderaan dan 95 dari Negeri Sembilan.

“Angka tersebut berkurangan berbanding 1,163 kenderaan pada hari sebelumnya. Semua pihak diingatkan supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan peraturan yang ditetapkan.

“Kerjasama dan kawalan kendiri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 157,364 kenderaan diperiksa polis dalam 162 sekatan jalan raya.

Secara keseluruhan, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan memeriksa 30,702 buah kenderaan persendirian, 2,052 kenderaan awam dan 286 kapal.

Turut diperiksa ialah 10,637 pasar awam, 4,045 tempat ibadah, 944 tempat riadah dan 636 tapak pembinaan.

Ismail Sabri berkata, seramai 156 individu ditahan dengan 50 direman manakala 106 dikompaun atas kesalahan melanggar SOP.


Pengarang :