AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor Tutor jadi pilihan pelajar, 80,000 daftar

SHAH ALAM, 17 MEI: Portal Selangor Tutor terus menjadi pilihan pelajar di negeri ini sebagai medium pembelajaran dan mengulang kaji pelajaran secara dalam talian apabila lebih 80,000 sudah mendaftar sehingga 13 Mei lalu.

Yayasan Selangor dalam kenyataan berkata lebih 500,000 latihan dan 2.5 juta soalan latih tubi telah dijawab oleh pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Lima menggunakan portal berkenaan.

“Program percuma ini masih dibuka sehingga 31 Mei depan dan bertujuan untuk membantu pelajar mengulang kaji secara mudah mengunakan gajet pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya.

Yayasan Selangor turut menganjurkan pertandingan video pendek kreatif Selangor Tutor bermula 27 April hingga 3 Mei bagi minggu pertama dan 4 hingga 10 Mei bagi minggu kedua.

Pemenang minggu kedua bagi kategori sekolah rendah ialah Nur Syarifah Alya Mohamad Omar dari Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2.

Sementara kategori sekolah menengah ialah Mahashri Sundar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Selayang dan Raihah Rashidi dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7 Shah Alam.

Kesemua pemenang menerima hadiah baucar pembelian buku.


Pengarang :