Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media khas berhubung perkembangan terkini Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasminya di Shah Alam pada 15 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor umum bantuan khas RM1,000 kepada penjawat awam

SHAH ALAM, 15 MEI: Selangor hari ini mengumumkan bantuan khas kewangan RM1,000 sekali bayar kepada kakitangan awam Gred 56 ke bawah yang akan disalur bermula 9 Jun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan tanda terima kasih turut meliputi pihak berkuasa tempatan, badan berkanun negeri dan anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada penjawat awam, datuk bandar, yang dipertua majlis, pegawai daerah dan mereka yang mengendalikan pusat kuarantin serta terlibat aktif dalam pengekangan wabak Covid-19.

“Bantuan ini membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM18.5 juta. Bagaimanapun, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yakni EXCO dan Ahli Dewan Negeri tidak termasuk dalam bantuan ini,” katanya dalam sidang media di kediaman rasminya di sini hari ini.

Turut mendapat manfaat ialah ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di 371 kampung tradisi dengan pemberian RM300 sekali bayar kepada setiausaha dan AJK Biro membabitkan implikasi kewangan RM1.335 juta.

Sementara itu, Amirudin berkata untuk masjid seluruh negeri, seorang nazir, dua orang imam, dua orang bilal dan dua orang siak akan menerima RM400 seorang sekali bayar dengan implikasi kewangan RM1.092 juta.

Bagi surau pula, katanya, pengerusi, dua orang imam, seorang bilal dan seorang siak akan menerima RM300 seorang sekali bayar dengan impak kewangan RM3.079 juta.

“Jumlah keseluruhan bantuan kewangan buat masjid dan surau adalah sebanyak RM4.171 juta yang akan dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

.

 


Pengarang :