Foto Sumber: Facebook Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

“Shahir dan Mastura, anda wira kami” – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sekali lagi menggunakan media sosial untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan kementerian itu.

Kali ini ditujukan kepada Inspektor Kesihatan Shahir Razali dan Mastura Maznor yang beliau anggap sebagai wira, kerana mereka benar-benar menghayati slogan Kementerian Kesihatan ‘Kami Sedia Membantu’.

“Melayan insan dengan lemah lembut tanpa sempadan kaum atau agama. Inspektor kesihatan kami Shahir Razali telah menggendong mak cik warga emas berbangsa Cina ke pusat ujian Covid-19.

“Berpuasa pada bulan Ramadan dan memberikan khidmat kepada orang yang memerlukan ketika memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE), sesungguhnya anda adalah wira kami. Sangat bangga dengan anda berdua dan terima kasih,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebooknya malam tadi.

Foto Sumber: Facebook Dr Noor Hisham Abdullah

Bersama hantaran itu, turut dilampirkan dua gambar yang satu daripadanya sedang memikul wanita warga emas itu manakala seorang lagi sedang memegang walker dan imej kedua menunjukkan empat petugas barisan hadapan yang memakai sut PPE dengan tertera perkataan di sarung tangan mereka, We Love Malaysia, Stay Safe (Kami Sayang Malaysia, Kekal Selamat).

Sikap baik mereka itu juga berjaya menarik perhatian netizen yang memberikan pujian dan penghargaan di ruang komen, apabila hantaran itu menerima lebih 16,000 tanda suka dan 756 perkongsian dalam tempoh satu jam.

-BERNAMA


Pengarang :