AGENDANASIONAL

Sidang Parlimen 18 Mei ujian buat Muhyiddin buktikan sokongan

SHAH ALAM, 10 MEI: Persidangan Dewan Rakyat yang dijadual pada 18 Mei menjadi medan ujian kepada perdana menteri untuk membuktikan sokongan ahli parlimen kepadanya.

Setiausaha agung KEADILAN berkata pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin diperkenan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan keyakinan ahli parlimen Pagoh mendapat sokongan majoriti.

“Tetapi, di mana ujian dia (Muhyiddin) mendapat sokongan majoriti? Seharusnya dalam Parlimen, jadi ini (Dewan Rakyat) adalah ujian yang mesti dilepasi.

“Jika tidak, setiap hujah yang disebut akan dihambat dengan pandangan bahawa ia (Perikatan Nasional) adalah kerajaan dibentuk daripada rampasan kuasa,” kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata demikian pada sesi siaran langsung Facebook Pakatan Harapan bertajuk ‘Kembalikan Mandat Rakyat’ kendalian Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil malam tadi.

Program sejam turut menampilkan menteri besar Kedah yang juga timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Lumut, Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Saifuddin berkata semua ahli parlimen PAKATAN bersama sebahagian wakil rakyat Bersatu mahu memberi saingan kuat pada sesi perbahasan sidang berkenaan.

“Malah, saya optimis kita mampu kembali mendapatkan mandat sesuai dengan pilihan dibuat oleh rakyat, hanya tunggu masa sahaja,” kata ahli parlimen Kulim Bandar Baharu.


Pengarang :