Selangorkini
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Skim Peduli Sihat ditambah baik, terima peruntukan RM42.5 juta

SHAH ALAM, 15 MEI: Skim Peduli Sihat menerima peruntukan tambahan RM42.5 juta dalam mendepani krisis Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Perkara tersebut diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sidang media berhubung prestasi semasa Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasminya hari ini.

“Bagi pemegang kad Peduli Sihat, mereka layak mendapat manfaat RM5,000 membabitkan kematian atau hilang upaya kekal akibat kemalangan, perbelanjaan pengebumian (RM1,000), penyakit kritikal (RM5,000) dan kematian semula jadi atau hilang upaya kekal (RM2,000),” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Selcare Management Sdn Bhd juga melaksanakan program Saringan Komuniti Covid-19 di zon merah bermula April lalu membabitkan 5,433 sampel, dengan 10 daripadanya positif.

Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan pada Disember 2016 membiayai rawatan kesihatan asas kepada 250,000 keluarga dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta untuk membekalkan topeng muka, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan manakala RM3 juta untuk perbelanjaan stesen kuarantin yang menempatkan individu dalam pengawasan.


Pengarang :