AGENDANASIONAL

Statistik baharu, terkini pantau sosioekonomi negara

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Jabatan Perangkaan sedang menyediakan statistik baharu dan terkini meliputi statistik yang lebih terperinci dan di peringkat kecil, menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Katanya persediaan itu adalah selaras dengan keperluan statistik yang semakin diperlukan untuk memantau perkembangan sosioekonomi negara dalam menghadapi krisis ekonomi terutamanya disebabkan pandemik Covid-19.

“Kami juga sedang merancang pengeluaran anggaran segera Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi membolehkan prestasi ekonomi negara dapat dikeluarkan lebih awal berasaskan indikator dan statistik bulanan yang keluarkan oleh jabatan,” katanya ketika membentangkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2020 yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Jabatan Perangkaan hari ini.

Berikutan itu, Mohd Uzir menggesa kerjasama perkongsian data dengan semua pihak berkaitan untuk membantu negara keluar daripada krisis ekonomi dengan lebih awal dan mencapai tahap sosioekonomi lebih makmur.

Terdahulu, beliau mengumumkan KDNK Malaysia susut 0.7 peratus pada suku pertama 2020 berbanding 3.6 peratus pada suku keempat 2019.

Ia merupakan kadar pertumbuhan terendah yang dicatatkan sejak suku ketiga 2009 iaitu negatif 1.1 peratus.

“Situasi ekonomi dunia berdepan permintaan yang perlahan akibat penularan Covid-19 di mana sesetengah negara telah melaksanakan sekatan keluar masuk lebih awal iaitu pada Januari dan ia memberi kesan kepada ekonomi negara mereka.

“Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka dengan jumlah dagangan hampir RM2 trilion setahun turut mendapat kesan negatif,” katanya.

China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia misalnya mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang rendah dalam sejarah iaitu -6.8 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding enam peratus pada suku keempat 2019.

Ini diikuti Amerika Syarikat iaitu 0.3 peratus pada suku pertama 2020 berbanding 2.3 peratus pada suku keempat 2019 dan Hong Kong -8.9 peratus pada suku pertama 2020 berbanding -3.0 peratus pada suku keempat 2019.

– BERNAMA


Pengarang :