Pengunjung beratur menunggu giliran sebelum dibenarkan masuk ke salah sebuah premis di Kompleks PKNS, Shah Alam yang kembali beroperasi pada 6 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Status PKP Bersyarat dijangka diketahui hari ini

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Perkembangan selanjutnya mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka diketahui melalui perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual berlangsung hari ini.

Namun begitu apa jua keputusan kerajaan, rakyat tetap perlu membiasakan diri dengan kelaziman baharu iaitu mengamalkan disiplin sosial yang tinggi, mematuhi jarak sosial, dan mementingkan tanggungjawab sosial untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam masyarakat.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan sejak 18 Mac lepas sudah memasuki hari ke-54, tindakan yang diambil kerajaan itu sememangya membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengawal serta melandaikan keluk kes Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan PKPB yang dilaksanakan pada 4 Mei lepas bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula walaupun PKP keempat sepatutnya berakhir pada Selasa ini.

Ekoran pelaksanaan itu, pusat membeli-belah sudah boleh beroperasi, orang ramai boleh mengunjungi restoran untuk menjamu selera dan kenderaan persendirian kini boleh dinaiki empat orang, namun kesemua itu masih perlu mematuhi Tatacara Operasi Piawai (SOP).

Justeru itu, tiada istilah ‘merdeka’ dalam situasi ini kerana selagi vaksin merawat pandemik maut itu tidak ditemui, setiap orang mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kita menang ‘peperangan’ virus ini.

Sedikit berbeza semalam, setelah hampir lima bulan bekerja tanpa henti memberikan perkembangan terkini mengenai Covid-19 kepada rakyat, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang juga antara orang terpenting dalam menangani pandemik itu diberikan ‘cuti’ oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) daripada membuat sidang media.

Namun pihak KKM masih memberikan perkembangan terkini mengenai Covid-19 menerusi kenyataan media dengan laporan jumlah kumulatif kes Covid-19 pulih sepenuhnya dan telah dibenar pulang daripada wad mencapai 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala 54 kes baharu direkodkan.

Sekali lagi diingatkan Covid-19 bukan perkara remeh, tanamlah normal baharu itu dalam diri ketika keluar dari rumah, orang ramai digalakkan memakai pelitup separuh muka ketika berada di kawasan tumpuan awam bagi mengelak jangkitan Covid-19 walaupun ia tidak diwajibkan.

Amalkan kawalan kendiri dan elakkan bersesak-sesak dengan orang ramai, tidak kira di mana sahaja anda berada.

-BERNAMA


Pengarang :