Datuk Alexander  Nanta Linggi (kiri) meninjau Pasar Basah Serian sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai 2020 pada 27 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Stok bekalan makanan cukup walau Covid-19 berterusan

SERIAN, 27 MEI: Stok bekalan makanan dan barang keperluan asas negara dalam menghadapi tempoh pandemik Covid-19 ketika ini mencukupi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi hari ini.

Beliau berkata KPDNHEP bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sentiasa siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dari segi jaminan makanan agar mampu bertahan walaupun Covid-19 berterusan.

“Bukan sahaja dari segi stok, kita (KPDNHEP) juga memastikan keadaan dan sumber cukup, kita sudah tahu keadaan semasa di negara tempat kita mengimport makanan seperti India yang mengeluarkan daging.

“Begitu juga bekalan beras, contohnya Vietnam pada ketika ini tidak mengekport beras ke Malaysia, kita telah kenal pasti sumber lain untuk mendapatkan bekalan beras,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di pasar basah Serian di sini, hari ini.

Katanya KPDNHEP menyusun dan mengenal pasti semua strategi untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi, justeru rakyat tidak perlu bimbang walaupun pada musim perayaan.

Nanta berkata bersempena dengan Hari Raya dan Hari Gawai di Sarawak, terdapat penambahan 11 barangan harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2.0, keseluruhan 22 barangan.

Tarikh kuat kuasa pertambahan 11 barangan ini adalah pada 22 Mei hingga 3 Jun iaitu selama 13 hari.

Antara senarai penambahan barangan di bawah harga kawalan bagi Hari Gawai adalah ayam tua hidup, daging babi dan babi hidup.

-BERNAMA


Pengarang :