Nazirul dan rakan sepasukan ketika bertugas memeriksa pesakit Covid-19 di wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Suami isteri sibuk kekang Covid-19, dua bulan terpisah dengan anak

TEPAT jam 2 petang tanggal 6 Mei lalu, Nazirul Mubin Ramlan dan Nurhidayatussa’adah Adnan bergegas ke kereta mereka selepas menamatkan syif tugas menjaga pesakit Covid-19 di wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh.

Nazirul menghidupkan enjin lalu memulakan pemanduan. Perjalanan dirasakan cukup jauh walhal jarak sebenar cuma 15 kilometer. Raut wajah mereka tersimpan riak gelisah.

Sempat pasangan suami-isteri itu, kedua-duanya berusia 27 tahun, singgah ke kedai membeli kek dan alat permainan sebelum meneruskan perjalanan. Mereka tiba sebelum waktu berbuka puasa.

Sebaik membuka pintu rumah di Ara Damansara, mereka terus menerpa kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun lantas memeluknya. Erat. Begitu rindunya mereka akan Aleesya Safiyya, satu-satunya anak tunggal.

“Dua bulan tidak jumpa kerana terpaksa hantar ke rumah ibu kerana tiada siapa hendak menjaganya. Kami perlu keluar bertugas.

“Seronok dapat jumpa semula anak dan melepaskan kerinduan. Lihat dia senyum hilang segala penat lelah bertugas lawan Covid-19,” kata Nazirul kepada SelangorKini.

Khuatir jangkiti keluarga

Nazirul dan Nurhidayatussa’adah menyambut hari jadi
ketiga anak mereka, Aleesya pada 6 Mei lalu selepas hampir dua
bulan terpisah

Selepas berbuka puasa, mereka menyambut hari jadi Aleesya Safiyya yang kebetulan jatuh pada hari pertama mereka kembali disatukan itu. Hati mereka juga berbunga-bunga melihatkan Aleesya begitu
seronok dengan pemberian hadiah.

Begitulah pengorbanan Nazirul, penolong pegawai perubatan, dan isterinya, seorang jururawat. Dua bulan tidak bersua si comel kesayangan. Hanya paparan visual pada skrin telefon dan panggilan video buat melepas rindu.

Ketika meluangkan masa bersama di kuarters hospital, pasangan itu tidak penah berhenti meluahkan rasa rindu terhadap kesayangan mereka namun ada halangan walaupun jarak mereka tidak jauh. Bimbang wabak itu menular pula kepada orang lain.

“Bukan tidak boleh ke rumah ibu bapa saya untuk jenguk Aleesya tetapi bimbang berjangkit kepada keluarga kerana kami kontak rapat dengan pesakit,” kata Nazirul, berasal dari Klang.

Nazirul yang bertugas di Klinik Pakar Neurologi di Hospital Sungai Buloh dipinjamkan untuk membantu menangani kes Covid-19 pada sekitar penghujung Mac dengan berkhidmat di wad menempatkan pesakit gejala ringan di asrama Hospital Sungai Buloh.

Kurang 500 meter daripada situ adalah lokasi Nurhidayatussa’adah ditempatkan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) yang turut dijadikan wad sedemikian dan mula bertugas di situ sejak awal Mac.

Kerenah warga asing

Sebagai barisan hadapan bagi memutuskan rantaian virus, Nazirul menghadapi banyak cabaran terutama ketika berdepan kerenah warga asing yang ada kalanya mencabar kesabaran mereka.

Suatu pagi, Nazirul dan empat rakan ditugaskan menjalankan ujian swab dan memeriksa pesakit. Mereka diingatkan untuk ke bilik ujian jam 8 pagi, sebaliknya ramai tidak nampak kelibat.

Setelah hampir sejam menunggu, mereka naik ke setiap bilik bagi melihat keadaan pesakit. Hati kecilnya geram melihat ada antara mereka masih berbaring di katil, seolah-olah tiada apa-apa berlaku. Namun, rasa marah dipendam. Paling penting tugas dilaksanakan terlebih dahulu.

“Kerenah pesakit dalam kalangan kluster warga asing agak memeningkan, ada yang tidak faham arahan kerana masalah komunikasi,” katanya.

Keperluan memakai sut peralatan perlindungan peribadi (PPE) juga cabaran. Baju berlapis yang dipakai lencun menggambarkan bahang dan penatnya mereka terutama pada Ramadan.

Tersenyum puas

Istilah penat tidak asing bagi dirinya serta ahli sepasukan lantaran keperluan bekerja tanpa mengira waktu dan tempat. Tetapi melihat kepada segala pengorbanannya, dia boleh tersenyum puas. Rasa
berbaloi.

Nazirul kembali ke unit lamanya pada 14 Mei lalu manakala isterinya masih dikekalkan, tetapi pengalamannya sebagai barisan hadapan kekal menjadi memori untuk dikenang.

Beliau berasa puas kerana dapat berbakti kepada negara. Dapat menimba pengalaman tak ternilai harganya, bahkan meningkatkan kemahiran serta kecekapannya.


Pengarang :