AGENDANASIONAL

Sukan kelompok besar kekal dilarang, riadah dibenarkan

SHAH ALAM, 1 MEI: Kerajaan kekal tidak membenarkan kegiatan sukan membabitkan kelompok besar tetapi memberi kelonggaran kepada riadah tertentu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua acara sukan melibatkan sentuhan sama ada di dewan atau stadium termasuk bola sepak, ragbi dan renang kekal dilarang.

“Jadi, saudara saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton. Joging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan,” katanya dalam perutusan Hari Pekerja hari ini .

Selain itu, Muhyiddin berkata majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa masih tidak dibenarkan.

“Konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Senarai lengkap aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk melalui laman sesawang Majlis Keselamatan Negara yang disemak dari masa ke semasa bergantung perkembangan kes jangkitan Covid-19.


Pengarang :