AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan ingatkan rakyat amal kebiasaan baharu pada Aidilfitri

SHAH ALAM, 18 MEI: Rakyat negeri ini diingatkan supaya mengubah suai budaya dan amalan biasa ketika menyambut Aidilfitri mengikut norma baharu susulan wabak Covid-19, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut mengingatkan rakyat memperbanyakkan ibadat serta menjauhi perbuatan tidak baik seperti menyebarkan fitnah dan berita palsu yang boleh memberi kesan buruk.

“Beta ingin menyeru rakyat terus bersatu padu, usah bertelagah dan jangan mengadu domba antara satu sama lain demi mengelakkan perpecahan, apatah lagi Aidilfitri kali ini disambut dalam suasana berbeza susulan penularan wabak Covid-19.

“Apa yang penting, rakyat mesti bersatu bagi memastikan wabak ini dapat dikawal dan ekonomi negara terus kukuh,” titah baginda dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan melalui Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda bertitah meskipun statistik jangkitan kes baharu Covid-19 di Selangor semakin menurun, namun rakyat perlu terus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Sultan Selangor turut menekankan amalan kunjung-mengunjung dan salam tidak sesuai dilakukan termasuk merentas negeri untuk pulang ke kampung dan menganjurkan majlis rumah terbuka.

“Beta sentiasa berdoa agar Selangor yang dikasihi dan rakyatnya terus dipelihara Allah SWT sebagai sebuah negeri yang maju, makmur, harmoni serta dijauhi dari malapetaka, bencana dan segala musibah yang tidak diingini, titah baginda.


Pengarang :