BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor seru rakyat biasakan norma baharu

SHAH ALAM, 5 MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat terus membiasakan diri dengan amalan norma baharu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sultan Sharafuddin bertitah walaupun perintah kawalan kini diberi kelonggaran membuka semula sektor ekonomi tetapi rakyat diingatkan kekal berhati-hati menjalankan rutin harian.

“Beta ingin mengingatkan rakyat supaya terus membiasakan amalan norma baharu iaitu keluar dari rumah hanya bila perlu, tidak berhimpun atau menganjurkan rumah terbuka sepanjang Syawal, memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan serta sentiasa amalkan penjarakan sosial jika perlu berurusan di tempat awam.

“Umat Islam juga diminta menyambut Aidilfitri kali ini dalam keadaan sederhana tanpa perlu merentas negeri untuk pulang ke kampung,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan warga emas atau individu yang tidak sihat agar duduk sahaja di rumah bagi memastikan rantaian pandemik itu dapat diputuskan.

“Beta mendoakan agar keadaan kembali pulih dan kita mampu untuk menangani penularan wabak ini sebaik mungkin,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Selangor turut menzahirkan terima kasih dan tahniah kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menjalankan tugas masing-masing dalam memastikan wabak itu dapat dikurangkan.


Pengarang :