Petugas KKM memasuki kawasan sekitar perkampungan di Chow Kit untuk memanggil penduduk melakukan saringan Covid -19 bagi membendung wabak tersebut ketika tinjauan pada 7 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tabung Covid-19 kumpul RM40.2 juta

PUTRAJAYA, 9 MEI: Tabung Covid-19 yang dilancarkan pada 11 Mac lepas mengumpul dana sumbangan pelbagai pihak berjumlah RM40.2 juta setakat 7 Mei lalu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sumbangan itu disalurkan membantu rakyat negara ini yang terkena jangkitan wabak berkenaan menerusi Bantuan Khas Hilang Pendapatan dan Bantuan Ihsan Kematian.

Dalam sidang media harian di sini, hari ini, Ismail Sabri menjelaskan Bantuan Khas Hilang Pendapatan, diberikan kepada mereka yang dirawat kerana positif Covid-19 atau kontak rapat kepada pesakit yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PPP).

“Mereka yang layak memohon bantuan ini adalah warga Malaysia yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan PPP dan diarahkan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Ismail Sabri berkata selain itu bantuan itu juga layak dipohon oleh mereka yang bekerja tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani menjalani rawatan di wad hospital ekoran Covid-19 dan akan diberi RM100 sehari bagi 14 hari tempoh kuarantin.

Bagaimanapun, mereka yang berada di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan tidak layak menerima bantuan itu.

Menurut beliau, setakat ini seramai 94 individu telah menerima bantuan ini berjumlah RM125,700.

Bagi Bantuan Ihsan Kematian pula, sebanyak RM5,000 diberikan kepada waris mereka yang telah terkorban akibat jangkitan virus berkenaan dan mengikut rekod seramai 71 waris telahpun menerima bantuan itu berjumlah RM355,000.

Pada masa sama sebanyak RM25.2 juta disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Yayasan Kebajikan Negara sebagai bantuan kepada rakyat negara ini yang terjejas akibat wabak itu.

-BERNAMA


Pengarang :