Antara ruang untuk pesakit yang disediakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS pada 3 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tahanan imigresen dijangkiti Covid-19 dihantar ke MAEPS mulai esok

SHAH ALAM, 25 MEI: Semua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang positif wabak di Depot Tahanan Imigresen akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) mulai esok untuk rawatan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti kes positif di depoh dan semua pegawai bertugas serta pembekal keperluan seperti makanan turut wajib menjalani saringan bagi mengelakkan penularan wabak.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana depoh-depoh(tahanan) Imigresen ini merupakan tempat terkawal. PATI dan pegawai imigresen yang bertugas akan disaring untuk Covid-19 dan yang didapati positif akan dihantar ke pusat kuarantin khas ini,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 4,342 PATI yang ditahan di Depoh Tahanan Imigresen dengan 1,654 di Semenyih, 1,334 di Bukit Jalil manakala 1,358 orang di Sepang.

Katanya, pagar kawat berduri sudah dipasang di sekeliling MAEPS bagi mengelakkan PATI melarikan diri ketika mendapatkan rawatan manakala warga tempatan yang positif Covid-19 akan dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Daripada 60 kes baharu wabak yang direkodkan semalam, 53 membabitkan kes tempatan. Daripada jumlah kes tempatan itu, sebanyak 44 adalah bukan warganegara dengan 27 kes bukan warganegara dikesan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih manakala enam di Sepang.


Pengarang :