AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Takbir Aidilfitri disiar di Facebook Masjid Sultan Salahuddin

SHAH ALAM, 19 MEI: Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan menyiarkan takbir raya dan solat sunat Aildilfitri secara langsung menerusi Facebook masjid tersebut, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mohd Shahzihan Ahmad berkata masjid dan surau lain di seluruh negeri ini juga digalakkan  melakukan perkara sama di Facebook masing-masing.

“Hal ini bertujuan menyemarakkan lagi kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa dan memuji kebesaran Allah,” kata beliau.

Katanya, seluruh umat Islam di negeri ini tidak dibenarkan melakukan solat sunat Aidilfitri di  mana-mana masjid  atau surau melainkan imam, bilal dan siak yang bertugas.

“Justeru umat Islam digalakkan melakukan solat  raya di kediaman masing-masing,” kata beliau.

Sementara itu, Mohd Shahzihan berkata, Jais mengambil inisiatif menerbitkan diagram atau nota poket iaitu Panduan Ringkas Solat Sunat Aidilfitri Tahun 2020 yang boleh dijadikan rujukan kepada umat Islam.

Jelasnya, nota poket boleh didapati menerusi laman web rasmi Jais (www.jais.gov.my); Facebook dan Instagram Jais.

Selain itu, tegas beliau, Selangor melarang aktiviti menziarahi kubur sejurus selepas menunaikan solat sunat sebaliknya digantikan dengan amalan bacaan tahlil, zikir dan doa di kediaman masing-masing.

“Pengurus atau pihak yang menguruskan kubur di negeri ini hendaklah membantu Jais dalam memastikan ketetapan (larang ziarah kubur) dipatuhi orang ramai,” katanya.


Pengarang :