Pekerja kontraktor sedang membersih sekitar kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Ukay Bukit Antarabangsa pada 30 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Tanah runtuh, penduduk bersyukur diberi penempatan sementara

AMPANG, 30 MEI: Penduduk yang terjejas susulan kejadian tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, bersyukur dengan tindakan Kerajaan Negeri menyediakan penempatan sementara dalam tempoh seminggu di Hotel de’ Palma Ampang di sini.

“Terima kasih Kerajaan Negeri atas bantuan ini dan saya harap kerja baik pulih berjalan lancar serta dapat kembali tinggal di sini seperti sedia kala,” kata Muhammad Imran Mohd Asshafi’e, 18, yang melahirkan kerisauan keluarganya mengenai kejadian itu ketika ditemui Media Selangor.

Manakala seorang lagi penduduk, Shahbudin Abu, 66, turut berkongsi pengalaman ketika kejadian dia sedang tidur dan terdengar bunyi dentuman kuat seperti pokok tumbang di belakang rumah.

“Selepas lihat beberapa pokok mula tumbang, tanah mendap dan sebahagian dinding mulai retak, saya terus bergegas mengejutkan tiga anak dan bawa mereka masuk dalam kereta kemudian meminta isteri hubungi bomba.

“Saya juga sempat memberitahu jiran lain kerana bimbang jika ada antara mereka yang tidak sedar berlaku tanah runtuh ini,” katanya yang sudah 20 tahun menetap di situ.

Sekitar jam 2.21 pagi tadi, 40 penghuni di tujuh rumah di sini diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat tersebut.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari turut melawat kawasan kejadian tengah hari tadi dan memutuskan membiayai penginapan mereka yang terkesan di hotel berkenaan bagi tempoh seminggu sebelum Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencari rumah sewa.


Pengarang :