BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Tempahan baju raya, songkok merudum

OLEH SHEEDA FATHIL dan SHIQIN SHUKOR

Sambutan Aidilfitri  selama ini menjadi lubuk rezeki buat golongan penjahit tetapi kali ini lain ceritanya. Jumlah tempahan jatuh mendadak, tidak kurang juga pelanggan yang membatalkan hasrat memiliki baju raya.

Malah, ada antara penjahit membuat kerja sambilan lain demi menampung kehidupan. Misalnya, Zuriati Ishak, 46, yang terpaksa menjual lauk-pauk untuk menampung pendapatan yang hilang.

Beliau yang dulu berpendapatan tetap sebelum menjahit sepenuh masa sejak dua tahun lalu mendapati jumlah tempahan merosot 50 peratus, itupun terhad kepada jiran dan saudara-mara sahaja.

“Saya kena buat rancangan sandaran, saya tak boleh reda sahaja. Jadi, saya juga ada jual lauk masak lemak tempoyak pucuk paku. Alhamdulillah, dapat sambutan,” kata ibu kepada lima anak.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu hingga tiga berlangsung, Zuriati yang beroperasi dari rumah di Meru, Klang, juga berdepan kesukaran memperoleh bahan jahitan. Beliau bimbang tersilap beli jika mendapatkannya melalui dalam talian.

Tempahan juga terpaksa dihadkan setelah PKP berkuat kuasa kerana beliau bimbang risiko jangkitan mengenangkan rumahnya dulu diserbu pelanggan menjelang hari raya tahun lalu.

Pakaian wanita laku

Namun, lain padang lain belalang. Penjahit pakaian wanita Nor Azizah Mohd Nor pula melalui pengalaman berbeza. Kadar tempahan meningkat sekali ganda pada tahun ini. Sebelum ini, hanya 100 pasang untuk Aidilfitri, kini jumlahnya melonjak kepada 200 pasang.

“Saya juga tak sangka tempahan melonjak sebab saya berhenti ambil tempahan dua bulan sebelum PKP diumumkan,” kata gadis kelahiran Terengganu yang membuka kedai di Setia Alam sejak 2016.

Nor Azizah juga menyediakan langkah pencegahan termasuk tidak membenarkan pelanggan memasuki kedai dan hanya mengambil bungkusan di luar premis.

“Saya tiada masalah untuk mendapatkan bahan-bahan asas kerana saya beli kebanyakan bahan dari atas talian. Bahan-bahan dalam talian lebih murah berbanding beli di kedai,” katanya lagi.

Beliau mendapati rekaan pakaian tahun ini agak sederhana dan tidak terlalu bergaya, mungkin kerana perayaan kali ini lebih kepada sesama keluarga susulan wabak Covid-19.

Tutup kedai

Noor Marziana Mohamed Tamin, 49, yang berpengalaman lebih 13 tahun dalam bidang jahitan turut mengakui jumlah tempahan jatuh, hanya bergantung kepada permintaan sebelum pelaksanaan PKP.

“Apabila masuk minggu pertama PKP, saya sudah tidak menerima tempahan, malah ada juga antara mereka membatalkan tempahan dan minta kembalikan kain yang dihantar,” luahnya.

Ibu tunggal kepada tiga anak juga sukar mendapatkan bahan jahitan kerana banyak kedai masih tutup. Beliau tiada pilihan selain memesannya secara dalam talian.

“Memang agak sukar kerana terpaksa menunggu hampir seminggu untuk barang itu sampai. Proses menjahit baju pelanggan sedikit terganggu dan gagal disiapkan mengikut waktu,” katanya.

Namun, beliau yang terlibat dalam program Teraju Ekonomi Asnaf kendalian Majlis Agama Islam Selangor berusaha mencari pendapatan lain dengan menjahit seragam syarikat korporat dan agensi kerajaan.

Jualan songkok jatuh

Peniaga songkok, Rohaya Daud, 55, pula memang menjangka jualan merudum tahun ini berikutan pelaksanaan PKP.

Mujur, beliau mengurangkan modal yang sebelum ini mencecah RM30,000 kepada hanya RM4,000 untuk sambutan Aidilfitri,.

“Pada tahun ini, memang jualan menyedihkan. Kalau dulu boleh kumpul RM7,000 hingga RM8,000 sehari, kini jualan sejak PKP mula baru cecah RM3,000.

Stok yang tidak terjual disimpan dan dijual untuk bulan seterusnya berikutan ia tidak mudah rosak. Apatah lagi, permintaan songkok tinggi dalam kalangan anak muda berbanding golongan dewasa dan warga emas.

Selain perayaan, mereka kerap memakai songkok untuk majlis pernikahan, sekolah mahupun majlis tertentu.

“Yang berumur biasanya pakai balik sahaja songkok mereka kecualilah mereka nak kahwin kali kedua,” katanya dengan nada gurau.

Rohaya menjual songkok Johor yang berbaldu empat atau lima inci, selain songkok lipat, bersaiz bayi, ketayap dan tarbus.


Pengarang :